CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »

Saturday, July 25, 2009

WAJIBKAH BERPEGANG KEPADA MAZHAB?


Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Antara isu yang sering diperdebatkan adalah tentang kewajipan untuk mengikuti hanya satu mazhab di dalam segala perkara berkaitan dengan fekah.. Di dalam masyarakat Islam di Malaysia telah tersebarnya pandangan bahawa sekiranya seseorang itu tidak mengikuti satu mazhab tertentu dalam sesuatu ibadah maka dia telah dianggap melakukan talfiq (mengikuti hukum tentang sesuatu perkara daripada pelbagai mazhab). Pada tanggapan mereka mengamalkan talfiq adalah sesuatu perbuatan yang diharamkan dan amal ibadah yang tidak bertaklid atau mengikuti hanya pada satu mazhab adalah tidak sah.

Sebelum penulis menjawab kekeliruan di atas, ingin penulis sisipkan beberapa Firman Allah S.W.T tentang kewajiban kita untuk mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam apa jua keadaan.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). - al-Ahzaab (33) : 21

Ayat ini merupakan pokok dan dasar yang agung dalam anjuran dari Allah S.W.T. untuk mencontohi Rasulullah s.a.w., baik dalam perkataan, perbuatan mahupun keadaan atau keperibadian baginda.

Seterusnya Allah S.W.T. berfirman:

Dan tidaklah harus bagi orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata. - al-Ahzaab (33) : 36

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa apabila Allah S.W.T. dan Rasul-Nya telah menentukan hukum ke atas sesuatu perkara, maka tidak diperbolehkan untuk sesiapapun menentang hukum-hukum tersebut. Sesungguhnya manusia tidak memiliki pilihan selain tunduk atas segala yang telah diputuskan oleh Allah S.W.T. dan Rasul-Nya.


Telah berkata Imam Abu Hanifah r.h:
Kalau saya mengemukakan suatu pendapat yang bertentangan dengan al-Qur’an dan Hadis Rasulullah s.a.w., tinggalkanlah pendapatku itu. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi shalallahu 'alaihi wasallam oleh Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Media Hidayah, ms. 55

Imam Malik bin Anas r.h pula telah berkata:
Saya hanyalah seorang manusia, terkadang salah, terkadang benar. Oleh itu, telitilah pendapatku. Bila sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, ambillah; dan bila tidak sesuai dengan al-Qur’an dan al-Sunnah, tinggalkanlah. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 55-56

Sementara itu Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i r.h berkata:
Bila suatu masalah ada hadisnya yang sah dari Rasulullah s.a.w. menurut kalangan ahl al-Hadis, tetapi pendapatku menyalahinya, pasti aku akan mencabutnya, baik selama aku hidup mahupun setelah aku mati. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 59

Selanjutnya Imam al-Syafi’i r.h juga pernah berkata:
Bila kalian menemukan dalam kitabku sesuatu yang berlainan dengan hadis Rasulullah, peganglah hadis Rasulullah itu dan tinggalkanlah pendapatku itu. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 58

Imam Ahmad bin Hanbal r.h pula menyatakan sebagai berikut:
Barangsiapa yang menolak hadis Rasulullah s.a.w., dia berada di jurang kehancuran. - Dinukil daripada buku Sifat Shalat Nabi, ms. 51

Oleh itu bolehlah kita rumuskan bahawa mazhab sebenar keempat-empat imam tersebut berdiri atas tiga prinsip utama iaitu :

1) Kesahihan hadis Rasulullah s.a.w.

2) Jika pendapat mereka bertentangan dengan sabda Nabi s.a.w. mereka menolak pendapat mereka dan mengambil sabda Nabi s.a.w.



3) Jika ada hadis yang sahih dalam suatu masalah yang bertentangan dengan pendapat mereka, maka mereka menarik kembali pendapat mereka, baik ketika mereka masih hidup mahupun sesudah mereka meninggal.

Menurut Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah tidak ada seorang imam atau ulamak pun yang terpelihara dari melakukan kesilapan dan kesalahan walaupun mereka telah mencapai darjat ilmu yang sangat tinggi. Manusia yang maksum (tidak berbuat salah) hanyalah Rasulullah s.a.w.. Oleh itu bukanlah menjadi satu kesalahan untuk meninggalkan pendapat mazhab masing-masing apabila terjumpa hadis yang sahih dari Rasulullah s.a.w.. Ini telah dipraktikkan oleh para pengikut imam-imam tersebut. Sebagai contohnya anak murid Imam Abu Hanifah iaitu Muhammad bin Hasan dan Abu Yusuf telah menolak satu pertiga dari pendapat gurunya. Begitu juga dalam apa jua bentuk ibadah ianya bukanlah menjadi satu kesalahan untuk mengikuti (ittiba’) sunnah Nabi s.a.w. dan meninggalkan pendapat mazhab rasmi negara kita iaitu mazhab al-Syafi’i kerana keempat-empat Imam Mazhab termasuk Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i sendiri tidak rela pendapat mereka lebih diutamakan dari al-Qur’an dan al-Sunnah.

Mendahulukan hadis Nabi s.a.w. dari pendapat mazhab masing-masing bukanlah perbuatan talfiq yang tercela, malah telah menjadi kesepakatan bahawa kewajipan dalam beribadah adalah dengan mencontohi Rasulullah s.a.w. dalam segala permasalahan. Mazhab-mazhab hanya bertindak sebagai sarana untuk memudahkan kita memahami hukum-hukum yang terkandung dalam al-Qur’an dan al-Sunnah.

Menurut Syaikh al-Albani r.h:

Sesungguhnya penyeru untuk kembali kepada al-Sunnah tidak bermaksud meninggalkan semua mazhab yang ada baik secara global mahupun secara rinci, bahkan mereka (yang mengajak untuk kembali kepada sunnah Nabi s.a.w. - Pen) senantiasa menghargai mazhab-mazhab tersebut dan menghormati para imam mazhab sambil bergantung pada pandangan para imam untuk memahami al-Kitab dan al-Sunnah. Mereka hanya meninggalkan pendapat para imam apabila jelas bertentangan dengan al-Kitab dan al-Sunnah. - Muhammad Nashiruddin al-Albani, Risalah Ilmiah Albani, Pustaka Azzam, ms. 42

Tentang amalan memilih-milih antara mazhab atau talfiq maka tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan hadis yang mengharamkannya. Begitu juga tidak ada satu nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah yang mewajibkan kita hanya mengikuti satu mazhab sahaja. Yang wajib kita patuhi tanpa berbelah bagi adalah Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah S.W.T :

Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. - al-Nuur (24) : 51-52

Telah berkata Syaikh al-Islam Ibnu Taymiyyah r.h dalam Majmu’ al-Fatawa (jilid 22, ms. 252):

Apabila seorang pengikut mazhab Abu Hanifah, Malik, al-Syafi’i atau Ahmad lalu dia melihat dalam sebahagian masalah mazhab lain ternyata lebih kuat lalu dia mengikutinya, maka dia telah melakukan sesuatu yang baik. Dia tidak menyalahi agama mahupun kredibilitinya. Bahkan sikap ini adalah lebih benar dan lebih dicintai Allah dan Rasul-Nya s.a.w. berbanding seseorang yang taksub kepada tokoh tertentu selain Nabi, seperti orang yang taksub kepada Malik atau al-Syafi’i atau Ahmad atau Abu Hanifah serta menganggap pendapat tokoh tersebut adalah benar yang mesti diikuti dan tidak boleh mengikuti pendapat imam yang berbeza (pendapat) dengannya. Sesiapa yang melakukan sedemikian, dia adalah orang jahil, sesat bahkan mungkin menjadi kafir…

Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi r.h pula berpendapat:

Mazhab-mazhab adalah pendapat dan pemahaman orang-orang berilmu dalam beberapa masalah serta ijtihad. Pendapat, ijtihad dan pemahaman ini tidak diwajibkan Allah dan tidak pula diwajibkan oleh Rasul-Nya kepada seseorang untuk mengikutinya. Di dalamnya (pendapat mazhab-mazhab tersebut – pen) terdapat kemungkinan betul dan salah, dan tidak ada yang betul-betul benar kecuali yang berasal dari Rasul s.a.w.. Seringkali terjadi para imam memiliki satu pendapat dalam sesuatu masalah lantas apabila mereka melihat kebenaran berlawanan dengan pendapat tersebut, lalu mereka menarik kembali pendapat. - Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi, Perlukah Bermazhab, Penerbit Aras Sarana Widia, ms. 54.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi telah berkata:

Yang terpenting adalah, hendaklah engkau mengetahui bahawa taklid seorang awam kepada salah seorang imam merupakan hal yang dibolehkan sesuai dengan kaedah dan darjatnya dan ia bukan merupakan satu kewajipan sebagaimana yang dikatakan oleh sebahagian ulamak kebelakangan. Ini kerana tidak ada satupun yang wajib kecuali apa yang telah diwajibkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah. Kenyataannya, kedua-dua sumber tersebut tidak mewajibkannya. Berdasarkan hal ini tidak ada larangan bagi seorang Muslim untuk bebas mengikuti sesuatu mazhab tertentu atau bertanya kepada salah seorang ulamak yang mudah dihubunginya berkenaan sesuatu masalah yang dihadapinya tanpa harus terikat kepada seorang imam sahaja sehingga tidak boleh bertanya kepada imam yang lain.

Jalan inilah yang ditempoh oleh para sahabat dan orang-orang yang mengikuti jejak mereka pada abad-abad terbaik umat ini. Allah telah menghindari mereka daripada praktik taklid yang tercela ini (iaitu terbatas kepada satu imam atau mazhab sahaja).

Orang yang paling penting diberi kebebasan dalam menentukan mazhab mana yang ingin diikutinya ialah orang-orang baru memeluk Islam. Mereka boleh sahaja mengikuti apa yang sebenarnya tidak ditetapkan oleh Allah Ta‘ala, iaitu bertanya kepada mana-mana ulamak yang mereka kehendaki. Juga sebaiknya untuk mereka dikarang buku-buku yang bersifat sederhana yang menjelaskan ajaran Islam tanpa terikat kepada satu mazhab tertentu. - Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Bagaimana Berinteraksi Dengan Peninggalan Ulama’ Salaf , Pustaka al-Kautsar, ms. 118.


Maka seandainya, pada masa sekarang ada yang melarang untuk berpindah-pindah mazhab, orang itu telah masuk dalam kategori fanatik yang menyesatkan, yang telah menjadi suatu kesepakatan kaum Muslimin untuk meniadakannya.

Suatu yang harus diketahui bagi seorang peneliti, tidak ada pertentangan bahawa tidak ada hukumnya bagi seorang muqallid untuk tidak mengikuti satu mazhab sahaja, atau berpindah-pindah ke mazhab yang lain. Artinya tidak ada kewajipan untuk terikat kepada salah satu mazhab tertentu, sama dengan tidak ada pelarangan untuk terikat kepada salah satu mazhab. - Dr. M. Said Ramadhan al-Buthi, Madzhab Tanpa Madzhab Bid’ah Dalam Syari’at Islam, Pustaka al-Kautsar, ms. 9.

Tambah beliau lagi:

Seorang muqallid jika dapat memahami suatu permasalahan dengan memahami dalil-dalilnya, baik dari al-Qur’an, hadis, atau kaedah ushuliyyah, maka wajib baginya untuk melepaskan diri dari mengambil pendapat imam-imam mazhab, apabila telah mampu melakukan ijtihad sendiri berdasarkan keilmuan yang dimiliki. - Madzhab Tanpa Madzhab Bid’ah Dalam Syari’at Islam, Pustaka al-Kautsar, ms. 9-10.

Dengan ini boleh kita simpulkan bahawa Ahl al-Sunnah berpendapat yang wajib dicontohi ialah Rasulullah s.a.w. seorang yang terpelihara dari melakukan kesilapan (maksum), selain baginda s.a.w. maka perkataan sesiapapun boleh ditolak termasuklah keempat-empat imam mazhab tersebut.. Ini sebagaimana yang diperkatakan oleh Imam Malik r.h sendiri: “Siapapun perkataannya boleh ditolak dan diterima, kecuali Nabi shalallahu 'alaihi wasallam sendiri.” (Dinukil daripada kitab Sifat Shalat Nabi, ms. 56) Oleh itu tindakan sesetengah pihak yang melihat kesempurnaan sesuatu ibadah itu hanya diiktiraf sekiranya ianya secocok dengan mengikuti hanya satu mazhab adalah satu tindakan yang tidak tepat dan bertentangan dengan syari’at. Budaya taksub mazhab sebegini harus dikikis dari jiwa setiap umat Islam. Apa yang penulis ingin tekankan sebenarnya tidak ada salahnya untuk mengikuti mazhab asalkan pendapat mazhab itu tidak lebih diutamakan dari al-Qur’an dan hadis Nabi shalallahu 'alaihi wasallam. Dalam ertikata lain sekiranya di dalam sesuatu mazhab itu terdapat amalan yang bercanggah dengan al-Qur’an dan al-Sunnah maka hendaklah ditinggalkan pendapat mazhab tersebut. Diakibatkan oleh bisikan syaitan, wujud dikalangan umat Islam yang begitu taksub terhadap mazhab masing-masing sehingga mereka beranggapan hanya mazhab mereka sahaja yang benar dan wajib ditaati dalam apa jua keadaan. Menurut Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi r.h:

Dari sanalah (sikap fanatik mazhab – pen) munculnya saling membenci, saling meninggalkan, saling menghasut dan takbur, hingga urusan umat Islam berantakan dan persatuan menjadi cerai-berai. Jadilah mereka santapan orang-orang Eropah dan penindas. Bukankah setiap imam Ahl al-Sunnah rahimahumullah itu merupakan imam kita dan kita di barisan mereka? Sangat disesalkan orang-orang fanatik ini! Ya Allah, tunjukilah kami dan mereka ke jalan yang lurus. - Syaikh Muhammad Sulthan al-Maksumi al-Khajandi, Perlukah Bermazhab, ms. 86

0 comments: